Monday, 14 September 2015

PERSIDANGAN KESIHATAN PERSEKITARAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN TAHUN 2015 8-9 SEPTEMBER 2016 DI DEWAN KONVENSYEN UJANA KEWANGAN, LABUAN

ABSTRAK

PEMBANGUNAN BANDAR MAMPAN  KE ARAH
KESIHATAN PERSEKITARAN SEJAHTERA

Dr. Azmizam Abdul Rashid
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
Semenanjung Malaysia


Dasar Kesihatan Negara telah menggariskan panduan untuk mempertingkatkan kualiti dan menyediakan akses sejagat di mana tumpuan diberikan kepada mempertingkatkan penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, persekitaran bandar dan memperluaskan kempen gaya hidup sihat  serta aktif. Akta Kerajaan  Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu seksyen 72 (1) menjelaskan peranan PBT menyelenggara dan menjalankan perkhidmatan kebersihandan subseksyen (f) menerangkan PBT perlu melindungi dan memajukan kesihatan awam dengan mencegah berlakunya apa-apa penyakit dan bencana. Selain itu, seksyen 73 (1) PBT berhak membuat, meminda atau membatalkan undang-undang kecil seperti menyelenggara dan menguruskan sampah, memelihara tempat awam bagi memastikan keadaan bersih dan bebas dari kotoran. Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBDSM) adalah antara jabatan yang telah mengambil inisiatif untuk merangka satu sistem yang dapat mengukur tahap kemampanan bandar dan kesejahteraan penduduk melalui Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia atau Malaysian Urban Rural National Indicators Network for Sustainable Development (MURNInets).  Ini merupakan satu program yang dapat membantu PBT dalam pengumpulan data dan maklumat serta sebagai satu alat penilaian, penentuan dan pemantauan tahap kemampanan bandar berdasarkan penunjuk-penunjuk yang telah ditetapkan. Melalui program ini, pengurus dan pentadbir bandar dapat memantau, merancang dan mengurus tadbir bandar-bandar secara cekap dan berkesan. Bagi melicinkan pelaksanaan program, aplikasi dan laman web Gerbang MURNInets telah dibangunkan dan diguna pakai untuk mengurus dan merekod pangkalan data penunjuk-penunjuk MURNInets, seterusnya menganalisa dan menjana Indeks Tahap Kemampanan Bandar. PBT membuat pengumpulan data-data dan maklumat-maklumat yang diperlukan dengan bantuan dan pemantauan daripada JPBD Negeri yang bertindak sebagai Pusat Operasi MURNInets Negeri. MURNInets merupakan salah satu pendekatan untuk mengukur tahap kemampanan sesuatu bandar yang mana daripada 36 penunjuk yang diukur, 16 penunjuk adalah berkaitan dengan kebersihan dan kesihatan persekitaran bandar. Antara beberapa petunjuk yang perlu diberi perhatian ialah indeks kebersihan sungai, kualiti udara persekitaran, kes bawaan air dan vektor, penempatan kediaman dengan kemudahan masyarakat, keadaan premis perniagaan makanan, kebersihan tandas awam dan juga sisa pepejal yang perlu dikitar semula. Oleh itu, MURNInets ini dapat menjadi asas bagi melaksanakan kajian projek perintis Healthy City ini sekaligus dapat memperbaiki pencapaian bagi penunjuk-penunjuk tersebut.