PENGENALAN
Negara Anggota Persatuan
Negara Asia Tenggara (ASEAN) telah ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 yang dianggotai
lima (5) negara iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura.
Sehingga tahun 1999 ahli-ahli angota ASEAN telah bertambah kepada sepuluh (10)
Negara dengan tambahan lima (5) negara
yang terdiri daripada Brunei Darulsalam, Vietnam, RDR Lao, Myanmar dan
Kemboja. Matlamat utama penubuhan ASEAN adalah untuk kepentingan bersama dan
mewujudkan kerjasama serantau dari segi politik, ekonomi, sosial serta
kebudayaan. Melalui konsep kolektif ini, Negara-negara Anggota ASEAN berkongsi
tanggungjawab untuk memajukan tingkat sosio-ekonomi dan memastikan kestabilan
serta keamanan serantau yang bebas daripada ancaman dan pengaruh kuasa luar.
Malaysia telah dilantik
sebagai Pengerusi ASEAN melalui
penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-26 pada 26 dan 27 April 2015 lalu.
Bersempena dengan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015, konsep Komuniti ASEAN telah berjaya ditonjolkan melalui tiga (3)
dokumen yang terhasil pada Sidang
Kemuncak ASEAN ini iaitu:
(i)
Deklarasi Kuala Lumpur (ASEAN Berorientasikan
Rakyat, Berpaksikan Rakyat);
(ii)
Deklarasi Langkawi (Pergerakan Kesederhanaan
Global); dan
(iii) Deklarasi Menginstitusikan
Daya Tahan ASEAN dan Komunitinya dan Rakyat Terhadap
Bencana dan Perubahan Iklim.
PIAGAM
ASEAN
Sepuluh (10) Negara-negara ASEAN bersepakat untuk mewujudkan Piagam ASEAN
yang berkuatkuasa pada 15 Disember 2008 bagi merintis langkah ke hadapan di
dalam membentuk satu Komuniti ASEAN yang sejahtera, bersatu, bekerjasama,
dinamik, prihatin, kredibiliti dan berketrampilan di pentas antarabangsa. Bagi
mencapai matlamat tersebut, Piagam ASEAN telah menggariskan sebanyak limabelas
(15) objektif di mana salah satu objektif yang dianggap berkaitan dengan
peranan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Perancangan Bandar dan desa Semenanjung Malaysia (JPBD) dan jabatan-jabatan di bawahnya ialah untuk menggalakkan pembangunan yang mampan supaya dapat memastikan alam
sekitar di rantau ini dilindungi, kemampanan sumber aslinya, keselamatan dan
kualiti hidup penduduknya yang tinggi dipelihara. ASEAN kini telah
diperkukuhkan dengan penubuhan Majlis Komuniti ASEAN yang terdiri daripada tiga
(3) tonggak utama iaitu:
(i)
Komuniti
Politik-Keselamatan ASEAN (APSC);
(ii)
Komunti
Ekonomi ASEAN (AEC); dan
(iii)
Komuniti
Sosio-Budaya ASEAN (ASCC)
Melalui Piagam
ASEAN ini, ASCC ada berkaitan dengan peranan KPKT yang menekankan aspek
pembasmian kemiskinan, kesejahteraan komuniti, jaringan keselamatan sosial,
kesihatan, bencana alam sekitar, kemampanan dan identiti serantau. Setiap Majlis Komuniti ASEAN hendaklah
mempunyai Badan Menteri Sektor ASEAN yang berkaitan di bawah skopnya. Setiap
Negara Anggota hendaklah menamakan wakil negaranya bagi setiap mesyuarat Majlis
Komuniti ASEAN. Namun begitu dalam Lampiran 1 mukasurat 50 tiada dinyatakan
peranan Menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan untuk Majlis
Komuniti Sosio-Budaya ASEAN. Berdasarkan
kepada Perkara 9 Piagam ASEAN Majlis Komuniti ASEAN untuk mencapai objektif
setiap tiga tonggak utama adalah :
(i)
Memastikan
pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN yang berkaitan;
(ii)
Menyelaras
kerja sektor yang berlainan di bawah skopnya dan tentang isu yang merentasi
Majlis Komuniti ASEAN yang lain; dan
(iii)
Mengemukakan
laporan dan syor kepada Sidang Kemuncak ASEAN tentang perkara di bawah skopnya
Berdasarkan
kepada Lampiran 1 piagam ASEAN ini mukasurat 50, terdapat 17 Badan Menteri Sektor
ASEAN di bawah ASCC yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab menteri
yang berkenaan. Namun begitu tiada peranan Menteri ASEAN yang berkaitan dengan
kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan dapat memastikan dan
menyelaraskan pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN (ASEAN Summit). Peranan Menteri yang bertanggungjawab hal-ehwal
kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan di bawah ASCC adalah
selaras dengan Perkara 10 Piagam ASEAN Badan Menteri Sektor ASEAN yang dapat:
(i)
Berfungsi
mengikut mandat yang diwujudkan mengikut peranan masing-masing;
(ii) Melaksanakan
perjanjian dan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN di bawah skop kesejahteraan
bandar, perumahan dan kerajaan tempatan;
(iii) Memperkukuhkan
kerjasama dalam bidang kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan
bagi menyokong integrasi dan pembangunan komuniti ASEAN; dan
(iv)
Mengemukakan
laporan dan syor kepada Majlis ASCC
Walau bagaimanapun Perkara 10 dan 48 yang berkaitan Lampiran 1 Piagam ASEAN ini mukasurat 50 boleh
dipinda dan dikemaskini oleh Setiausaha Agung ASEAN atas syor Jawatankuasa
Wakil Tetap tanpa menggunakan peruntukan tentang pindaan di bawah piagam ini
dengan menambah perkara mengenai:
(i) Peranan
Menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi kesejahteraan bandar,
perumahan dan kerajaan tempatan; dan
(ii)
Mesyuarat
Pegawai-pegawai Kanan bagi kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan
tempatan
Menurut Perkara
48 Piagam ASEAN, mana-mana Negara Anggota ASEAN boleh mencadangkan pindaan
Piagam ini yang dikemukakan oleh Majlis Penyelarasan ASEAN melalui konsensus
kepada Sidang Kemuncak ASEAN untuk keputusannya. Keputusan ini hendaklah
diratifikasikan oleh kesemua Negara Anggota mengikut Perkara 47. Tambahan pula mesyuarat
Pegawai-pegawai Kanan dan Menteri-menteri ASEAN berkaitan dengan perancangan
bandar, perumahan, kesejahteraan bandar dan komuniti serta tadbir urus kerajaan
tempatan secara khusus untuk anggota-anggota ASEAN belum pernah dibincangkan di
peringkat Menteri-menteri ASEAN sejak ASEAN ditubuhkan pada tahun 1968.
Perkara-perkara
yang berkaitan dengan perancangan bandar, kesejahteraan bandar dan komuniti
serta tadbir urus kerajaan tempatan hanya dibincangkan di peringkat Mesyuarat
Gabenor / Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (Meeting of Governors/ Mayors of ASEAN
Capitals) sejak mesyuarat pertama ini diadakan pada September 2013. Mesyuarat ini di bawah keurusetiaan
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Maka dengan itu, adalah wajar satu
mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN yang
lebih menyeluruh dan holisitik yang membincangkan isu-isu perancangan bandar,
perumahan, kesejahteraan bandar , komuniti dan tadbir urus kerajaan tempatan di
kalangan Negara-negara ASEAN perlu diadakan. Ini adalah kerana perkara-perkara
ini merupakan isu-isu serantau (common issues) yang boleh dibincangkan dan
diselaraskan antara anggota ASEAN.
Majlis Komuniti
ASEAN untuk Badan Menteri Sektor kesejahteraan
bandar, perumahan dan kerajaan tempatan ASEAN di bawah organ Piagam ASEAN ini
dapat memperhalusi program kerjasama, pembangunan kapasiti, kesedaran, dan
aktiviti berkaitan kesejahteraan bandar yang melibatkan setiap Negara Anggota
ASEAN, termasuk kerjasama dalam bidang perancangan bandar, kesejahteraan bandar
dan komuniti serta tadbir urus kerajaan tempatan Negara Anggota ASEAN dengan Negara
+ 4 (Jepun, Korea, Australia dan China).
KESIMPULAN
Badan Menteri Sektor Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ASEAN di
bawah YB Menteri KPKT diharapkan akan menjadi satu titik tolak penting kepada
Malaysia untuk melangkah ke hadapan mengutarakan isu-isu dan cadangan berkenaan
pembangunan kesejahteraan bandar, perumahan dan pengurusan kerajaan tempatan di
kalangan Negara-negara ASEAN. Ini
selaras dengan visi Komuniti ASEAN pasca 2015 yang mewujudkan komuniti ASEAN
yang berorentasikan rakyat, berpaksikan rakyat dan meningkatkan kerjasama dalam
keselamatan-politik, ekonomi dan sosio-budaya untuk pembangunan yang berdaya
tahan, saksama dan inklusif.
No comments:
Post a Comment